Friday 6 December 2013

Politik: Kuasa atau Amanah



Tugasan Blog  SYW502
Politik: Kuasa atau Amanah
Noor Aini Mohd Salleh
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM0045/12



Politik atau Siyasah merupakan perkataan yang tidak asing lagi dengan pemerintahan. Realitinya, politik mempunyai hubung kait dengan kuasa dan amanah. Kebanyakan negara termasuk Malaysia memilih sistem demokrasi sebagai sistem politik untuk menjamin hak asasi rakyat daripada ditindas dan dizalimi. Sistem ini juga dipratikkan untuk melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat dengan berkesan. Namun begitu, kadang kala penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penindasan ke atas rakyat masih berlaku atas nama kepentingan awam, keselamatan negara dan sebagainya. Mengapa keadaan ini terjadi? Adakah untuk kepentingan diri? Atau untuk mengukuhkan kuasa? Sepatutnya keadaan ini tidak berlaku jika pemimpin tersebut benar-benar melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Pergolakan politik juga tidak akan terjadi jika masing-masing sedar akan hakikat sebenar sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t.




Hakikatnya, dunia politik sekarang dilihat sebagai sebuah medan perdebatan untuk menonjolkan kelemahan pihak lawan dengan mengeluarkan kata-kata kesat, mencaci, menghina dan memperkecil-kecilkan pihak lawan. Mengapa tindakan sebegini terjadi? Adakah untuk menunjukkan kekuasaan atau kelebihan diri? Sedangkan sikap begitu tidak seharusnya ada pada ciri-ciri seorang pemimpin. Pemimpin yang baik seharusnya tidak mengetepikan nilai-nilai Islam dan sentiasa mempamerkan teladan yang baik kepada masyarakat. Namun begitu, kritikan atau teguran boleh dilakukan, tetapi hendaklah dengan cara berakhlak seperti tuntutan dalam Islam. Jika berlaku percanggahan pendapat dengan pihak lawan berusahalah untuk berbincang dan memberi penjelasan berkenaan isu yang diperdebatkan. Seterusnya, bersama-sama mencari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama. Di situlah ukhwah terbina. Tindakan sebegini menampilkan ketinggian peribadi seseorang pemimpin.


Dunia politik kini sering dikaitkan dengan rasuah, tidak amanah dan penyelewengan kuasa oleh pemimpin. Isu ini berlaku hampir di semua negara termasuk Malaysia sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. Perbuatan ini merupakan pengkhianatan kepada amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat terhadap seseorang pemimpin. Malah, pemimpin sebegini akan membawa kemusnahan kepada masyarakat dan negara kerana memiliki sifat  tamak terhadap kekayaan dan kuasa. Hakikatnya, pemimpin sebegini tidak layak dipilih sebagai pemimpin. 


“Suatu ketika, Nabi Muhammad sedang berbicara dengan para sahabatnya, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya, ‘Bilakah berlakunya kiamat?’ Lantas Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila dihilangkan amanah.’ Dia bertaanya lagi, ‘Bagaimanakah dihilangkan amanah itu.’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila diserahkan urusan kepada orang bukan yang ahlinya (yang tidak layak).’”


Perkara ini perlu supaya masyarakat memperoleh pemimpin yang sentiasa memartabatkan syiar Islam bukannya  menjadikan  jawatan yang disandang sebagai tiket untuk mengaut keuntungan, kekayaan dan melebarkan pengaruh. Malah, sebagai pemimpin yang benar-benar bertaqwa dan berakhlak akan menganggap kuasa yang dimiliki hanya sebagai alat untuk membuktikan kehambaan kepada Allah s.w.t. Malah, setiap tindakan yang dilakukan pula adalah berpaksikan niat kerana Allah s.wt. Pegangan dan niat yang betul dapat menghalang seseorang pemimpin daripada terlibat dengan kemungkaran yang membawa kepada dosa dan kehancuran. Sebagai pemimpin Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus masyarakat. Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin yang benar-benar memenuhi ciri tersebut sehingga beliau turut disegani oleh kaum kafir Quraisy. Baginda juga menegaskan azab yang pedih bagi pemimpin yang mengambil kesempatan terhadap masyarakat dengan melakukan kezaliman, penipuan, rasuah dan sebagainya.


Sebenarnya, komponen amanah sahaja tidak mencukupi dalam kepimpinan tanpa adanya keadilan. Hal ini kerana menurut Abdul Hadi Awang, Allah s.w.t menyebut komponen adil dan amanah secara bersama. Perkara ini menunjukkan bahawa politik Islam yang sebenar adalah memerintah dengan adil mengikut hukum Allah s.w.t. Namun kini, kebanyakan pemimpin kadang kala dilihat kurang adil dalam sesetengah isu terutama berkaitan pihak lawan. Sedangkan isu yang dibangkitkan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat contohnya berkaitan bencana alam. Namun, terdapat pemimpin yang masih melihat kepada parti bukannya masyarakat untuk menghulurkan bantuan. Malah, ada pula yang sanggup mengambil hak masyarakat untuk  kepentingan diri sendiri, ahli keluarga dan penyokong politik. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku terutamanya di Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam. Pemimpin seharusnya sentiasa mengutamakan hukum Islam dan masyarakat berbanding kepentingan diri dan parti. Malah, berlaku adil dalam pelbagai sudut bukannya dipengaruhi oleh hubungan keluarga, kekayaan harta ataupun melalui penipuan dan juga rasuah. Firman Allah s.w.t bermaksud:


“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui.”

(al-Baqarah, 2:188)


Pemimpin yang baik akan menjaga hubungan dengan pihak lawan dengan bersaing secara baik dan adil walaupun untuk mendapatkan kuasa. Hal ini kerana Islam tidak menghalang persaingan, namun perlu dilakukan dengan cara yang adil dan betul  untuk memenuhi amanah Allah s.w.t dan masyarakat, bukan dengan cara menyogok, mengancam dan menipu untuk mendapatkan kuasa. Malah, manusia perlu sentiasa berbaik sangka walaupun dengan pihak yang berbeza parti atau fahaman. Sebagai pemimpin yang baik, hati harus dijaga agar tidak dicemari dengan sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan sebagainya. Sifat-sifat ini akan menghalang seseorang pemimpin melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan jayanya, sebaliknya akan terpengaruh dengan nafsu yang mementingkan kuasa dan pangkat. Semua itu akan menghalang daripada mendapat keredhaan Allah s.w.t.


Individu yang bergelar Yang Berhormat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Negara bukan hanya diberi keistimewaan menjawat jawatan tersebut, sebaliknya turut diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Kemampuan untuk melaksanakan amanah ini bukan hanya memerlukan seseorang pemimpin yang mempunyai ketajaman akal dan menjaga hablumminanasnya dengan masyarakat sahaja tetapi turut mementingkan hablumminallah dalam setiap perlakuannya. Ciri-ciri ini dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada dipengaruhi oleh kerakusan nafsu jahat untuk mengekspoitasi kekayaan yang diurus dengan kuasa yang ada. Jika keadaan ini berlaku, tindakan tersebut akan membawa kerugian kepada masyarakat dan negara serta diri pemimpin itu sendiri. Oleh itu, jawatan pemimpin seharusnya diberi kepada individu yang mempunyai akhlak yang baik, beriman, ketinggian ilmu, menjiwai kesusahan rakyat dan sentiasa mengajak rakyat mentaati Allah. Ekoran itu, pemimpin yang baik mampu menjadikan teladan kepada masyarakat. Malah, melalui kepimpinannya dapat membawa kesejahteraan di dunia dan akhirat kepada diri sendiri dan juga masyarakat.

Saturday 23 March 2013

Doa untuk yang sedang mencari ilmu...



Ya Allah Ya Tuhanku,
Permudahkanlah kepada kami 
yang sedang mencari ilmu Ya Allah..
Semoga kami dapat mencari ilmu 
yang
 sebaik-baiknya untuk hidup 
dan juga di akhirat nanti Ya Allah..
Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah
kepada kami guru 
yang 
sebenar-benarnya guru yang 
boleh membawa kami ke arah kebaikan,
 ke arah lebih mengenali 
dan mencintaiMu 
Ya Allah.
Kami sangat-sangat yakin 
padaMu bahawa Kau akan 
lorongkan kami ke arah ilmu 
yang benar dan diberkatiMu 
Ya Allah..
Semoga kami menjadi insan 
terpilih sekali lagi dalam 
memahami dan mempraktikkan
 ilmu yang disampaikan 
oleh guru-guru kami 
Ya Allah..
Amin Ya Rabbal 'Alamiiinn..