Tugasan Blog SYW502
Politik:
Kuasa atau Amanah
Noor Aini
Mohd Salleh
Calon
Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan
Pembangunan Islam
PSM0045/12
Politik atau Siyasah merupakan perkataan yang tidak asing lagi dengan
pemerintahan. Realitinya, politik mempunyai hubung kait dengan kuasa dan
amanah. Kebanyakan negara termasuk Malaysia memilih sistem demokrasi sebagai
sistem politik untuk menjamin hak asasi rakyat daripada ditindas dan dizalimi.
Sistem ini juga dipratikkan untuk melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab
terhadap rakyat dengan berkesan. Namun begitu, kadang kala penyalahgunaan
kuasa, kezaliman dan penindasan ke atas rakyat masih berlaku atas nama kepentingan
awam, keselamatan negara dan sebagainya. Mengapa keadaan ini terjadi? Adakah
untuk kepentingan diri? Atau untuk mengukuhkan kuasa? Sepatutnya keadaan ini
tidak berlaku jika pemimpin tersebut benar-benar melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan. Pergolakan politik juga tidak akan terjadi jika
masing-masing sedar akan hakikat sebenar sebagai hamba dan khalifah Allah
s.w.t.
Hakikatnya,
dunia politik sekarang dilihat sebagai sebuah medan perdebatan untuk
menonjolkan kelemahan pihak lawan dengan mengeluarkan kata-kata kesat, mencaci, menghina dan
memperkecil-kecilkan pihak lawan. Mengapa tindakan sebegini terjadi? Adakah
untuk menunjukkan kekuasaan atau kelebihan diri? Sedangkan sikap begitu tidak
seharusnya ada pada ciri-ciri seorang pemimpin. Pemimpin yang baik seharusnya
tidak mengetepikan nilai-nilai Islam dan sentiasa mempamerkan teladan yang baik
kepada masyarakat. Namun begitu, kritikan atau teguran boleh dilakukan, tetapi
hendaklah dengan cara berakhlak seperti tuntutan dalam Islam. Jika berlaku
percanggahan pendapat dengan pihak lawan berusahalah untuk berbincang dan
memberi penjelasan berkenaan isu yang diperdebatkan. Seterusnya, bersama-sama
mencari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama. Di situlah ukhwah terbina.
Tindakan sebegini menampilkan ketinggian peribadi seseorang pemimpin.
Dunia politik
kini sering dikaitkan dengan rasuah,
tidak amanah dan penyelewengan kuasa oleh pemimpin. Isu ini berlaku hampir di
semua negara termasuk Malaysia sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun
Kerajaan Negeri. Perbuatan ini merupakan pengkhianatan kepada amanah dan
kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat terhadap seseorang pemimpin.
Malah, pemimpin sebegini akan membawa kemusnahan kepada masyarakat dan negara
kerana memiliki sifat tamak terhadap
kekayaan dan kuasa. Hakikatnya, pemimpin sebegini tidak layak dipilih sebagai
pemimpin.
“Suatu ketika, Nabi Muhammad sedang
berbicara dengan para sahabatnya, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya,
‘Bilakah berlakunya kiamat?’ Lantas Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila
dihilangkan amanah.’ Dia bertaanya lagi, ‘Bagaimanakah dihilangkan amanah itu.’
Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila diserahkan urusan kepada orang bukan yang
ahlinya (yang tidak layak).’”
Perkara ini
perlu supaya masyarakat memperoleh pemimpin yang sentiasa memartabatkan syiar
Islam bukannya menjadikan jawatan yang disandang sebagai tiket untuk
mengaut keuntungan, kekayaan dan melebarkan pengaruh. Malah, sebagai pemimpin
yang benar-benar bertaqwa dan berakhlak akan menganggap kuasa yang dimiliki
hanya sebagai alat untuk membuktikan kehambaan kepada Allah s.w.t. Malah, setiap
tindakan yang dilakukan pula adalah berpaksikan niat kerana Allah s.wt.
Pegangan dan niat yang betul dapat menghalang seseorang pemimpin daripada
terlibat dengan kemungkaran yang membawa kepada dosa dan kehancuran. Sebagai pemimpin Islam, sikap amanah
semestinya menjadi pegangan kuat dalam melaksanakan tanggungjawab untuk
mentadbir dan mengurus masyarakat. Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin yang benar-benar
memenuhi ciri tersebut sehingga beliau turut disegani oleh kaum kafir
Quraisy. Baginda juga menegaskan azab yang pedih bagi pemimpin yang mengambil
kesempatan terhadap masyarakat dengan melakukan kezaliman, penipuan, rasuah dan
sebagainya.
Sebenarnya, komponen amanah sahaja
tidak mencukupi dalam kepimpinan tanpa adanya keadilan. Hal ini kerana menurut
Abdul Hadi Awang, Allah s.w.t menyebut komponen adil dan amanah secara bersama.
Perkara ini menunjukkan bahawa politik Islam yang sebenar adalah memerintah
dengan adil mengikut hukum Allah s.w.t. Namun kini, kebanyakan pemimpin kadang
kala dilihat kurang adil dalam sesetengah isu terutama berkaitan pihak lawan.
Sedangkan isu yang dibangkitkan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat contohnya
berkaitan bencana alam. Namun, terdapat pemimpin yang masih melihat kepada
parti bukannya masyarakat untuk menghulurkan bantuan. Malah, ada pula yang
sanggup mengambil hak masyarakat untuk kepentingan diri sendiri, ahli keluarga dan penyokong
politik. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku terutamanya di
Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam. Pemimpin seharusnya sentiasa mengutamakan hukum Islam
dan masyarakat berbanding kepentingan diri dan parti. Malah, berlaku adil dalam
pelbagai sudut bukannya dipengaruhi oleh hubungan keluarga, kekayaan
harta ataupun melalui penipuan dan juga rasuah. Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Dan
janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu
dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada
hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu
dengan jalan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui.”
(al-Baqarah,
2:188)
Pemimpin yang
baik akan menjaga hubungan dengan pihak lawan dengan bersaing secara baik dan
adil walaupun untuk mendapatkan kuasa. Hal ini kerana Islam tidak menghalang
persaingan, namun perlu dilakukan dengan cara yang adil dan betul untuk memenuhi amanah Allah s.w.t dan masyarakat, bukan dengan cara
menyogok, mengancam dan menipu untuk mendapatkan kuasa. Malah, manusia perlu
sentiasa berbaik sangka walaupun dengan pihak yang berbeza parti atau fahaman.
Sebagai pemimpin yang baik, hati harus dijaga agar tidak dicemari dengan
sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan sebagainya.
Sifat-sifat ini akan menghalang seseorang pemimpin melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan dengan jayanya, sebaliknya akan terpengaruh dengan nafsu
yang mementingkan kuasa dan pangkat. Semua itu akan menghalang daripada
mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Individu yang bergelar Yang Berhormat Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Negara bukan hanya diberi keistimewaan menjawat jawatan tersebut, sebaliknya turut diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Kemampuan untuk melaksanakan amanah ini bukan hanya memerlukan seseorang pemimpin yang mempunyai ketajaman akal dan menjaga hablumminanasnya dengan masyarakat sahaja tetapi turut mementingkan hablumminallah dalam setiap perlakuannya. Ciri-ciri ini dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada dipengaruhi oleh kerakusan nafsu jahat untuk mengekspoitasi kekayaan yang diurus dengan kuasa yang ada. Jika keadaan ini berlaku, tindakan tersebut akan membawa kerugian kepada masyarakat dan negara serta diri pemimpin itu sendiri. Oleh itu, jawatan pemimpin seharusnya diberi kepada individu yang mempunyai akhlak yang baik, beriman, ketinggian ilmu, menjiwai kesusahan rakyat dan sentiasa mengajak rakyat mentaati Allah. Ekoran itu, pemimpin yang baik mampu menjadikan teladan kepada masyarakat. Malah, melalui kepimpinannya dapat membawa kesejahteraan di dunia dan akhirat kepada diri sendiri dan juga masyarakat.