Tugasan Blog
SIW506
Pemilihan Makanan : Sedap, Berkhasiat dan Halal.
Noor Aini Mohd
Salleh
Calon Sarjana
Sains Kemasyarakatan
Pengurusan
Pembangunan Islam
PSM0045/12
Makanan dengan
hidupan boleh dikatakan ibarat isi dengan kuku. Makanan merupakan keperluan
yang sangat penting bagi setiap makhluk yang bernafas di bumi sama ada ia
manusia, tumbuhan mahupun haiwan. Hal ini kerana makanan berperanan memberi
tenaga bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsi masing-masing sebagai hamba
dan khalifah Allah s.w.t. Namun begitu, kebiasaanya binatang dan tumbuhan hanya makan mengikut
keperluan untuk meneruskan hidup dan fungsinya. Sebaliknya manusia kadangkala
makan mengikut kemahuan, selera, akal dan nafsu semata-semata tanpa mengambil
kira sama ada makanan itu halal atau mengikut syariat agama. Mengapakah keadaan
ini berlaku? Adakah disebabkan manusia mempunyai banyak pilihan berbanding
makhluk lain?
Industri makanan
pada hari ini semakin berkembang selari dengan arus globalisasi semasa.
Buktinya wujud pelbagai jenis premis dan syarikat makanan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Antara makanan yang menjadi
kegemaran masyarakat tempatan sekarang ialah makanan francais seperti Kentucky
Fried Chicken (KFC), McDonald’s, The Chicken Rice Shop, Pizza Hut dan
Marrybrown. Tambahan pula pada zaman yang serba moden sekarang masyarakat boleh
mendapatkan makanan dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja. Tidak kurang
juga yang meminati makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi dagang, mee
goreng, roti canai dan kuih-muih. Kewujudan pelbagai jenis syarikat makanan ini
secara tidak langsung akan memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan
seterusnya meningkatkan peratusan KDNK negara. Makanan seperti ini dapat
menarik perhatian kerana rasanya yang
lazat serta mempunyai pelbagai pilihan menu. Tambahan pula, akibat kesibukan
kerja dan tugas seharian makanan sebegini menjadi menu utama seharian khususnya
bagi masyarakat bandar. Disebalik keuntungan yang diperoleh, kelazatan rasanya
serta senang untuk diperoleh, adakah masyarakat sedar bahawa makanan yang
dimakan itu halal ataupun tidak? Syubhah? baik ataupun tidak untuk kesihatan
fizikal mahupun rohani?
Di Malaysia isu makanan halal dan
haram menjadi satu agenda yang begitu hangat diperdebatkan. Isu ini seringkali
muncul di dada akhbar, majalah, televisyen mahupun internet yang membahaskan
tentang keraguan status halal makanan, cara penyembelihan haiwan yang tidak
mengikut syarak, makanan mempengaruhi akhlak dan bahana makanan haram. Isu ini sebenarnya memberi kesan
yang besar kepada umat Islam. Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan
kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu
bebas daripada sumber najis dan haram bermula daripada proses penyediaan bahan
mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan
pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini kadang kala digemparkan dengan
dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya (Ajie
MKO, 2012). Namun begitu, keraguan status halal juga akan memberi kesan kepada penganut-penganut
agama lain bukan hanya tertumpu kepada umat Islam sahaja. Hal ini kerana
seperti yang diketahui Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai
masyarakat yang berbilang kaum dan agama jadi mereka juga terdiri daripada
pengusaha makanan yang menyumbang kepada keperluan makanan seluruh masyarakat
Malaysia. Malahan lebih mengejutkan industri makanan halal pada masa kini telah
dimonopoli oleh pengusaha bukan Islam. Buktinya Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) telah mengumumkan sebanyak 74.7% pengusaha makanan bukan Islam
telah membuat permohonan sijil halal bagi produk yang dihasilkan untuk mendapat
kepercayaan masyarakat (Muhammad Teja, 2012).
Isu makanan
bukanlah suatu isu yang baru, ia bermula sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa tercipta
lagi. Akibat termakan hasutan dan tipu daya syaitan Nabi Adam a.s
dan Hawa memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Kesan daripada tindakan
itu mereka berdua dikeluarkan daripada syurga. Di sini jelas sekali bahawa
Allah amat menitikberatkan soal berkaitan makanan sehingga menjatuhkan hukuman
kepada Nabi Adam dan isterinya yang melanggari perintah. Jika dilihat dari epistemologi
Islam, telah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran bahawa Allah s.w.t
memerintahkan manusia supaya memakan makanan daripada sumber yang halal dan tidak
terpedaya dengan hasutan syaitan. Buktinya, Allah s.w.t berfirman:
“ Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi
baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya
syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu” ( Surah al-Baqarah 2:168).
Sejak kebelakangan ini
ramai masyarakat tidak lagi memberatkan status halal haram dan kadang
kala makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak
memaparkan logo atau sijil halal. Mereka juga membeli apa yang menarik
perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label
produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti
pengilang (Ajie
MKO, 2012). Perbuatan seperti ini sebenarnya amat
bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai umat Islam, cara pemilihan makanan
perlulah mengikut tasawur Islam iaitu mementingkan aspek halal dalam pengambilan
makanan dan menjauhi makanan yang haram
bukan hanya memilih kelazatan dan khasiatnya sahaja. Selain itu, terdapat juga
masyarakat yang menilai sesebuah restoran melalui statistik pengunjung yang
ramai berbanding dengan status halal. Contohnya jika sesebuah restoran
dikunjungi oleh ramai pengunjung yang beragama Islam dan Melayu, pengguna akan
membuat keputusan bahawa makanan di restoran itu dikira halal untuk dimakan tanpa
menilai sendiri sama ada makan tersebut halal. Selain itu, pengguna juga perlu menilai
sendiri sijil halal yang diberikan kepada sesebuah perniagaan bukannya ambil
sikap lepas tangan. Sikap ini wajar dikritik kerana dibimbangi akan turut
mempengaruhi pengguna Islam yang lain, sekali gus merendahkan serta mencemarkan
peranan penguatkuasaan perlesenan halal oleh pihak berkuasa terutamanya pihak
JAKIM.
Pemilihan
makanan yang halal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada individu
sama ada mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t ataupun tidak. Selain itu, Islam juga menyeru umatnya supaya
menjauhi makanan yang diragui status halalnya atau syubhah. Rasulullah s.a.w
bersabda bermaksud:
“Yang halal adalah jelas dan yang haram
juga jelas, tetapi di antara keduanya terdapat perkara yang belum
jelas(syubhah), maka lebih baik dijauhi” (Riwayat Muslim: 2996)
Oleh itu,
pemilihan makanan haruslah berpandukan kepada epistemologi Islam seperti
al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas Ulama yang merupakan sumber utama yang sahih
kepada umat Islam. Islam menegaskan betapa pentingnya makanan halal dalam
kehidupan seseorang kerana makanan akan membentuk hati sama ada baik atau buruk.
Hati akan rosak jika memakan makanan haram dan syubhah laksana pohon yang akan
mati jika dibajai racun. Sedangkan hati umpama raja dalam kerajaan diri yang baiknya
akan membaikkan seluruh pancaindera dan anggota badan (Pahrol Mohamad Juoi,
2012). Rasulullah bersabda yang maksudnya:
"Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang
apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila
ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati".
(Hadis riwayat Bukhari)
Hati yang rosak
dan gelap ini akan menyebabkan seseorang itu jauh dari taufik dan hidayah
Allah. Hal ini boleh dilihat apabila
seseorang itu tidak suka akan teguran, mudah bosan dengan ilmu dan sebagainya. Sebaliknya, hati orang yang memakan makanan
halal akan dipenuhi dengan cahaya dan hidayah daripada Allah. Buktinya
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang memakan sesuatu yang halal
selama 40 hari, nescaya Allah akan menerangi hatinya dan mengalirkan kearifan
hati melalui lidahnya.” (Riwayat Abu Nu’aim)
Selain Islam
yang menekankan kepentingan pengambilan makanan halal kepada hati, ahli sains dan perubatan
juga tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Dari sudut pandangan sains, makanan yang baik
penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi antara lainnya
mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan beracun dalam badan,
membina dan memusnahkan sel darah merah, menukar glikogen kepada glukosa untuk
diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi khusus lain yang penting dalam
sistem tubuh badan manusia (Berita
Harian Online, 2007). Oleh itu, pemakanan yang sihat, berkhasiat dan seimbang perlu diambil kerana ia penting
untuk memelihara tubuh badan daripada sebarang penyakit memudaratkan. Namun
begitu, makanan yang diambil perlulah mengikut keperluan badan supaya tidak
menghadapi masalah kesihatan seperti kegemukan, kencing manis dan penyakit jantung.
Dalam keghairahan mengisi perut, Islam melarang
pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan kerana dibimbangi akan
membawa kesukaran penghadaman perut dan seterusnya akan menimbulkan sikap malas
dan tidak cergas dalam tindakan seharian. Sebaliknya, pemakanan sihat dan
seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang
bukan saja cemerlang kesihatannya bahkan cemerlang akhlak sahsiah, berperibadi
mulia dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap serta menyeluruh. Di sini jelas bahawa setiap ajaran dan
suruhan agama Islam mempunyai kebaikan dan kepentingan tersendiri dalam menyeru
umatnya menjauhi makanan haram dan syubhah untuk kesejahteraan manusia jasmani
dan juga rohani.
Oleh itu, berhati-hatilah
dengan apa yang dimakan dan berwaspadalah
dengan cara bagaimana mendapatkan
makanan. Apa yang dimakan dan cara mendapatkannya akan menentukan persoalan hidup
serta nasib di akhirat nanti (Pahrol
Mohamad Juoi, 2012). Disebabkan itulah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq mengorek
kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah, setelah diberitahu oleh
khadamnya bahawa makanan itu diperoleh sebagai ganjaran untuk perkhidmatan
tilik nasib. Amirul Mukminin itu merasa
cukup takut bila makanan itu akan
membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada
sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun
berdoa (Hilal Asyraf, 2012),
"Ya
Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah
dagingku."
Perbuatan itu
menunjukkan bahawa betapa bahayanya makanan yang tidak halal. Makanan tersebut
akan memberi kesan yang besar terhadap seseorang mukmin. Namun begitu,
masyarakat Islam sekarang kurang pendedahan terhadap kesan pengambilan makanan
haram sebaliknya mereka hanya diberi pendedahan terhadap halal dan haram
sahaja. Disebabkan keadaan itulah mereka
kurang memberi perhatian kepada penjagaan makanan mengikut tasawur Islam.
Selain itu, ramai umat
Islam hanya memberi tumpuan kepada masalah untuk mencari halal dan haram makan
yang dimakan tetapi sebaliknya mereka lalai dan terlepas pandang terhadap cara mereka
mendapatkan makanan tersebut. Menurut Pahrol Mohamad Juoi dalam buku Solusi
yang bertajuk Lazat, Berzat dan Berkat berpendapat ramai umat Islam
terperangkap bukan oleh makanan yang haram, tetapi cara mendapatkannya yang
haram! Misalnya, boleh dikatakan tidak ada orang Islam yang tega memakan babi,
tetapi masih ramai umat Islam yang makan makanan yang dibeli dengan wang hasil
rasuah, menipu,curi tulang dan menzalimi hak orang lain. Perbuatan ini amat berbeza sekali dengan
tasawur Islam yang menekankan supaya umatnya menjauhi perbuatan rasuah, mencuri
serta menzalimi orang lain. Hakikatnya, mereka sedang memakan makanan yang
diperoleh daripada cara yang batil dan mungkar (Pahrol Mohamad Juoi, 2012). Berpandukan al-Quran Allah s.w.t berfirman:
“Wahai orang yang beriman, janganlah
kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil melainkann dengan jalan
perniagaan secara suka sama suka antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan
sesama sendiri. ” (Surah al-Nisa 4:29)
Justeru, sebagai
umat Islam yang betul-betul mengikut tasawur dan berpandukan epistemologi
Islam, seharusnya sedar dan mengubah cara hidup yang terlibat dengan sifat
mazmumah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap yang tidak peka terhadap cara untuk mendapatkan
sumber rezeki yang halal.
Hal ini kerana halal merupakan prasyarat kepada
penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan terima doa orang yang mengandungi
bahan haram dalam tubuhnya termasuklah makanan dan pakaian yang dipakai. Rasulullah
s.a.w bersabda,
"Di antara nilai
hukum yang diisyaratkan ialah
mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya
dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki
kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal
makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari." (Riwayat Abu Muslim dan Abu Hurairah)
Makanan yang
haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan
pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika
diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang
tidak mengikut acuan Islam sebenar. Di samping itu, ia juga menyebabkan
seseorang individu itu sukar untuk mengingati ilmu yang dipelajari, tidak khusuk
dalam beribadat, hati tidak tenang dan tiada keberkatan hidup. Seterusnya, akan lahir masyarakat yang sarat
dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur
galur pemakanan yang menjadi darah daging. Akhir sekali, marilah sama-sama kita
pastikan makanan yang dimakan dalam kehidupan seharian kita sentiasa bersih,
suci dan halal kerana mencari yang halal itu adalah fardhu. Makanan bukan sekadar
perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah memperoleh
keberkatan daripada Yang Maha Esa.
BIBLIOGRAFI
Ahmad Solihin B. Maryakon (2012). Isu-isu
Jaminan Status Halal Sembelihan. Diakses
dari www.halal.upm.edu.my/kph2012/ISU%0%96%20ISU%20DALAM%20SEMBELIHAN%20V.%203%2
0(Jul.%202012-UPM)
pada 10 Oktober 2012.
Ajie MKO (2012). Halal dan Haram Mempengaruhi
keperibadian Muslim. Diakses dari http://mrmko.blogspot.com/2012_06_07_archive.html pada 10 Oktober 2012.
Hilal Asyraf (2012). Kebersihan hati dan
tubuh badan. Diakses dari
http://www.haluan.org.my/v5/index.php/topik-pilihan/kesihatan-a-keselamatan/131-kebersihan-hati-dan-tubuh-badan
pada 10 oktober 2012.
Muhammad Teja (2012). Makanan Halal dan
Sensitiviti Pengguna Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Norkumala Awang (2012). Perspektif IKIM:
Makanan Pengaruhi Akhlak. Diakses dari
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PerspektifIKIM_Makananpengaruhiakhlak/Article/
pada 10 Oktober 2012.
Norkumala Awang (2007). Makanan Haram
Gelapkan Hati. Diakses dari e-kiosk.ikim. gov.my /downloadarticle.asp?id=313
pada 10 oktober 2012.
Pahrol Mohamad Juoi(2012). Lazat, Berzat,
Berkat. Kuala Lumpur:Telaga Biru Sdn Bhd.