Awal September 2012 umat Islam seluruh dunia digemparkan dengan penyebaran
filem Innocence of Muslims arahan Sam Bacile dalam laman sosial YouTube yang terbukti
telah menghina Nabi Muhammad SAW
dan juga agama Islam. Filem ini mengambarkan
Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang gila seks, gila perempuan, tidak waras,
gay dan pelbagai penghinaan lagi yang diberikan. Ekoran itu, filem ini telah menimbulkan
kemarahan umat Islam sehingga mencetuskan ketegangan di negara-negara Islam yang dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh
dunia. Kesan kemarahan ini menyebabkan ada umat Islam yang bertindak secara agresif sehingga
menyebabkan kematian Duta Amerika
Syarikat Christopher Stevens di
Benghazi, Libya.
Betulkah tindakan kita sebagai umat
Islam? Wajarkan kita bertindak begitu? Bukankah
Islam mengajar kita supaya sentiasa berhemah dalam setiap perkara. Tindakan
terburu-buru yang emosional seperti ini akan
mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama
Islam. Seterusnya, secara tidak langsung akan
membangkitkan kembali fenomena Islamofobia yang muncul akibat tragedi
pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.
Kita
sepatutnya bertindak secara rasional. Sememangnya
perasaan marah itu akan wujud kerana mereka menghina rasul kita dan kita seharusnya menunjukkan
bantahan kepada pihak tersebut tetapi bantahan yang dilakukan mestilah secara aman. Tonjolkan bahawa Islam agama yang sentiasa menuntut
umatnya supaya sentiasa bertindak positif dalam segala hal bukannya agresif. Tunjuk
perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan lunas syarak dan akhlak Islam contohnya lebih 20 orang ahli kumpulan pejuang Islam berdemo secara
aman di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak kerana membantah
klip video anti Islam yang diarahkan oleh pengarah filem Amerika yang
mencetuskan kemarahan seluruh dunia (Berita Harian, 2012). Tindakan yang dibuat secara aman ini tidak akan menimbulkan kehilangan
nyawa, kecederaan atau kerosakan harta
benda malah menonjolkan bahawa Islam
bukan agama keganasan tetapi agama yang penuh berhemah dan berakhlak. Islam amat menitikberatkan hal yang berkaitan
dengan nilai-nilai moral, keadilan, keamanan dan amalan baik serta menghindari
sebarang perlakuaan buruk ( Shaik Kadir, 2009).
Allah SWT berfirman:
“
Berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum
kerabat; dan melarang mereka daripada
melakukan perbuatan-perbuatan
yang keji dan mungkar serta kezaliman” (
Surah an- Nahl: 90)
Sedarkah kita bahawa penghinaan
terhadap Nabi Muhammad SAW bermula sejak perutusan Baginda sebagai Rasul
lagi bukannya dari filem ini. Malahan penghinaan
yang diterima Baginda adalah lebih dahsyat kerana golongan kafir bertungkus
lumus ingin menghapuskan riwayat hidup Baginda SAW contohnya Uqbah bin Abi Muit telah menjerut
leher Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa
hijrah, dikumpulkan pemuda-pemuda yang perkasa untuk membunuh Baginda SAW. Nabi Muhammad
SAW dihina dengan perbuatan keji dan kejam tetapi Baginda tidak pula membunuh
orang-orang yang menghinanya malahan melakukan kebaikan terhadap mereka
contohnya dalam kisah pengemis buta dan Rasulullah
SAW.
Pengemis buta Yahudi yang berada di
pasar Madinah selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya supaya tidak
mendekati Nabi Muhammad SAW kerana
baginda orang gila, pembohong, tukang sihir dan pelbagai lagi. Namun, setiap pagi Rasulullah datang ke pasar
itu untuk memberi makanan dan menyuapkan
makan yang dibawa kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui
yang menyuapkan makanan itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan perbuatan ini sehingga baginda
wafat. Setelah baginda wafat Saidina Abu
Bakar yang mengantikan Rasulullah untuk memberi makan kepada pengemis itu. Diringkaskan cerita setelah diberitahu oleh
Saidina Abu Bakar pengemis itu mengetahui bahawa yang memberi dia makan setiap
pagi adalah Rasulullah. Akhirnya pengemis
itu menangis dan memeluk Islam.
Di sini kita boleh mengambil contoh teladan daripada keperibadian dan kemuliaan akhlak Rasulullah. Berbalik kepada filem tadi kenapa mesti ada
kekerasan sehingga membunuh sebaliknya kita seharusnya bertindak sebagai
seorang yang berakhlak dalam memperjuangkan
Islam. Tindakan sebegini boleh mengundang pelbagai persepsi yang lebih negatif
kepada agama Islam itu sendiri. Tindakan melulu ini juga akan membenarkan
tuduhan yang dilemparkan kepada Islam.
Sedangkan Islam itu tidak salah tetapi tindakan segelintir umat Islam
yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Umat Islam perlu berfikiran jauh,
mendalami dan memahami setiap aspek sebelum bertindak. Tidakkah pembunuhan Duta
Amerika Syarikat ini mungkin akan mencetuskan satu masalah baru. Kita sebagai
Umat Islam perlu memikirkan baik buruk setiap tindakan contohnya apakah yang akan berlaku selepas serangan yang menyebabkan kematian duta
Amerika Syarikat di Libya? Persoalan ini timbul ekoran peristiwa 11 september. Selepas peristiwa itu, Afghanistan dan Iraq
ditawan oleh Amerika Syarikat dan
sekutunya. Apakah pembunuhan
kedutaan Amerika Syarikat di Benghazi
bakal menyebabkan Syria jatuh ke tangan Amerika Syarikat dan sekutunya juga? Oleh sebab itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam setiap tindakan
kerana kita mungkin berjaya membunuh
seorang daripada penghina Islam tetapi
sebaliknya tindakan kita itu akan menyebabkan ramai umat Islam yang terkorban.
Umat Islam perlu mengambil pengajaran dan iktibar dari peristiwa yang telah
berlaku. Oleh itu, jangan terlalu taksub dan ikut perasaan semasa bertindak sehingga merugikan umat Islam
sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan
penuh bijaksana dan nasihat pengajaran
yang
baik-baik dan bertukar fikiranlah kamu dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa
yang sesat dari jalan-Nya
dan
siapa yang terpimpin.” (Surah al-Nahl: 125).
Kenapa tidak kita jadikan provokasi
yang dibuat oleh Sam Bacile
ini sebagai satu peluang untuk kita memberitahu
dunia bahawa Islam satu agama yang suci dan betapa mulianya keperibadian
Rasulullah SAW? Kita boleh menggunakan kedangkalan ilmu tentang Islam Sam
Bacile sebagai satu cara untuk menyebarkan dakwah Rasulullah SAW dengan lebih
meluas. Jadi kita tidak sepatutnya cepat melatah dengan perbuatan orang yang
dangkal ilmunya tentang agama Islam sehingga memberi kesan negatif kepada agama
kita sendiri.
Selain itu, kita perlu bertindak rasional dan lebih intelektual dalam memberi gambaran
yang baik tentang Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Di sini semua pihak perlu
memainkan peranan masing-masing. Bermula dengan pemimpin yang berperanan besar dalam
mengatasi masalah ini. Dengan kuasa yang ada penyekatan video di laman sosial
YouTube telah berjaya dihentikan
penyiarannya oleh Ketua
Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof setelah diarah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) ( Utusan Malaysia, 2012). Tindakan ini amat perlu
bagi mengelakkan fahaman yang salah tentang Islam tersebar dan seterusnya
mencetuskan kemarahan umat Islam.
Di samping itu, kita juga boleh menggunakan kaedah yang sama seperti Sam
Bacile iaitu membuat video yang menceritakan keperibadian sebenar Rasulullah. Di
sini penerbit
dan pengarah filem patut memainkan peranan dalam menerapkan nilai dakwah, cara
hidup, pegangan umat Islam dan keperibadian Rasulullah yang sebenar kepada
dunia. Namun sebaliknya pihak penerbit dan pengarah sekarang lebih banyak
mengeluarkan filem yang berunsur cinta dan hantu. Walaupun ada cerita berunsur
dakwah tetapi jalan ceritanya tidak mencapai matlamat sebenar Islam. Umat Islam
juga perlu lebih bijak, kreatif dan
pandai menggunakan peluang serta kemajuan yang ada untuk menegakkan agama Islam
contohnya menyebarkan dakwah melalui televisyen, filem, laman sosial, blog,
web, majalah dan surat khabar. Medium
ini juga mampu berperanan mendekatkan
masyarakat supaya lebih memahami dan
mengenali Islam. Mubaligh Kristian sudah
lama menggunakan kaedah ini. Kita juga
boleh menggunakan cara yang sama untuk mengembangkan dakwah Islam.
Kesimpulannya, sebagai umat Islam
yang benar-benar ingin menegakkan agama kita seharusnya bertindak secara
rasional, berakhlak dan berhemah.
Tonjolkan akhlak yang baik kepada orang bukan Islam supaya akhirnya
mereka sedar bahawa Islam agama yang
menuntut kebaikan dan keperibadiaan Rasulullah adalah mulia. Islam bukan agama
penganas dan Nabi Muhammad tidak sehina itu. Setelah mereka betul-betul
mengenali Islam mereka juga akan memeluk islam seperti mana khalifah-khalifah
pada zaman Rasulullah tertarik dan memeluk Islam. Sikap ini seiringan dengan
seruan dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini" (Surah al-Furqan:63)