Friday 19 October 2012

Filem Innocence of Muslims? Apakah tindakan kita??




Awal  September  2012 umat Islam seluruh dunia digemparkan  dengan  penyebaran filem Innocence of Muslims arahan Sam Bacile dalam  laman sosial  YouTube yang  terbukti  telah menghina Nabi Muhammad SAW dan juga agama Islam.  Filem  ini  mengambarkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang gila seks, gila perempuan, tidak waras, gay dan pelbagai penghinaan lagi yang diberikan.  Ekoran itu, filem ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam  sehingga mencetuskan ketegangan di negara-negara  Islam yang dikatakan  menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.  Kesan kemarahan ini menyebabkan  ada umat Islam  yang bertindak secara agresif sehingga menyebabkan kematian  Duta Amerika Syarikat Christopher Stevens  di Benghazi, Libya.

Betulkah tindakan kita sebagai umat Islam?  Wajarkan kita bertindak begitu? Bukankah Islam mengajar kita supaya sentiasa berhemah dalam setiap perkara. Tindakan terburu-buru yang emosional seperti ini akan  mendatangkan pandangan buruk masyarakat dunia terhadap Muslim dan agama Islam. Seterusnya, secara tidak langsung akan  membangkitkan kembali fenomena Islamofobia yang muncul akibat tragedi pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. 


Kita sepatutnya bertindak secara rasional.  Sememangnya perasaan marah itu akan wujud kerana mereka menghina  rasul kita dan kita seharusnya menunjukkan bantahan kepada pihak tersebut tetapi bantahan  yang dilakukan mestilah secara aman.  Tonjolkan bahawa Islam agama yang sentiasa menuntut umatnya supaya sentiasa bertindak positif dalam segala hal bukannya agresif. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang dilakukan biarlah bertepatan dengan  lunas syarak dan akhlak Islam contohnya  lebih 20 orang ahli kumpulan pejuang Islam berdemo secara aman di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak kerana membantah klip video anti Islam yang diarahkan oleh pengarah filem Amerika yang mencetuskan kemarahan seluruh dunia (Berita Harian, 2012).  Tindakan yang dibuat secara aman ini tidak akan menimbulkan kehilangan nyawa, kecederaan  atau kerosakan harta benda malah  menonjolkan bahawa Islam bukan agama keganasan tetapi agama yang penuh berhemah dan berakhlak.  Islam amat menitikberatkan hal yang berkaitan dengan nilai-nilai moral, keadilan, keamanan dan amalan baik serta menghindari sebarang perlakuaan buruk ( Shaik Kadir, 2009).  Allah SWT berfirman:

   Berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum
     kerabat; dan melarang mereka daripada melakukan perbuatan-perbuatan
    yang keji dan mungkar serta kezaliman” ( Surah an- Nahl: 90)


Sedarkah kita bahawa penghinaan terhadap Nabi Muhammad  SAW  bermula sejak perutusan Baginda sebagai Rasul lagi bukannya dari filem ini.  Malahan penghinaan yang diterima Baginda adalah lebih dahsyat kerana golongan kafir bertungkus lumus ingin menghapuskan riwayat hidup Baginda SAW  contohnya Uqbah bin Abi Muit telah menjerut leher Nabi  Muhammad SAW dalam peristiwa hijrah, dikumpulkan pemuda-pemuda yang perkasa untuk membunuh Baginda SAW.  Nabi Muhammad SAW dihina dengan perbuatan keji dan kejam tetapi Baginda tidak pula membunuh orang-orang yang menghinanya malahan melakukan kebaikan terhadap mereka contohnya dalam  kisah pengemis buta dan Rasulullah SAW.  


Pengemis buta Yahudi yang berada di pasar Madinah selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya supaya tidak mendekati Nabi Muhammad  SAW kerana baginda orang gila, pembohong, tukang sihir dan pelbagai lagi.  Namun, setiap pagi Rasulullah datang ke pasar  itu untuk memberi makanan dan menyuapkan makan yang dibawa kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui yang menyuapkan makanan itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah  SAW melakukan perbuatan ini sehingga baginda wafat. Setelah baginda wafat  Saidina Abu Bakar yang mengantikan Rasulullah untuk memberi makan kepada pengemis itu. Diringkaskan cerita setelah diberitahu oleh Saidina Abu Bakar pengemis itu mengetahui bahawa yang memberi dia makan setiap pagi adalah Rasulullah. Akhirnya  pengemis itu menangis dan memeluk Islam.

Di sini kita boleh mengambil contoh teladan daripada keperibadian  dan kemuliaan akhlak Rasulullah.  Berbalik kepada filem tadi kenapa mesti ada kekerasan sehingga membunuh sebaliknya kita seharusnya bertindak sebagai seorang yang berakhlak dalam  memperjuangkan Islam. Tindakan sebegini boleh mengundang pelbagai persepsi yang lebih negatif kepada agama Islam itu sendiri. Tindakan melulu ini juga akan membenarkan tuduhan yang dilemparkan kepada Islam.  Sedangkan Islam itu tidak salah tetapi tindakan segelintir umat Islam yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.


Umat Islam perlu berfikiran jauh, mendalami dan memahami setiap aspek sebelum bertindak. Tidakkah pembunuhan Duta Amerika Syarikat ini mungkin akan mencetuskan satu masalah baru. Kita sebagai Umat Islam perlu memikirkan baik buruk setiap tindakan contohnya apakah yang akan berlaku selepas serangan yang menyebabkan kematian duta Amerika Syarikat  di Libya? Persoalan ini timbul ekoran peristiwa 11 september.  Selepas peristiwa itu, Afghanistan dan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat  dan sekutunya. Apakah pembunuhan kedutaan Amerika Syarikat  di Benghazi bakal menyebabkan Syria jatuh ke tangan Amerika Syarikat dan sekutunya juga? Oleh sebab itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam setiap tindakan kerana  kita mungkin berjaya membunuh seorang daripada penghina Islam  tetapi  sebaliknya tindakan kita itu akan menyebabkan ramai umat Islam yang terkorban. Umat Islam perlu mengambil pengajaran dan iktibar dari peristiwa yang telah berlaku. Oleh itu, jangan terlalu taksub dan ikut perasaan  semasa bertindak sehingga merugikan umat Islam sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

           “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan penuh bijaksana dan nasihat pengajaran
yang baik-baik dan bertukar fikiranlah kamu dengan cara yang lebih baik.   Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya
dan siapa yang terpimpin.” (Surah al-Nahl: 125).

Kenapa tidak kita jadikan provokasi yang dibuat oleh Sam Bacile ini sebagai  satu peluang untuk kita memberitahu dunia bahawa Islam satu agama yang suci dan betapa mulianya keperibadian Rasulullah SAW? Kita boleh menggunakan kedangkalan ilmu tentang Islam Sam Bacile sebagai satu cara untuk menyebarkan dakwah Rasulullah SAW dengan lebih meluas. Jadi kita tidak sepatutnya cepat melatah dengan perbuatan orang yang dangkal ilmunya tentang agama Islam sehingga memberi kesan negatif kepada agama kita sendiri.

Selain itu, kita perlu bertindak rasional dan lebih intelektual dalam memberi gambaran yang baik tentang Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Di sini semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Bermula dengan pemimpin yang berperanan besar dalam mengatasi masalah ini. Dengan kuasa yang ada penyekatan video di laman sosial YouTube  telah berjaya dihentikan penyiarannya oleh Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof setelah diarah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ( Utusan Malaysia, 2012). Tindakan ini amat perlu bagi mengelakkan fahaman yang salah tentang Islam tersebar dan seterusnya mencetuskan kemarahan umat Islam.


Di samping itu, kita juga boleh menggunakan kaedah yang sama seperti Sam Bacile iaitu membuat video yang menceritakan keperibadian sebenar Rasulullah. Di sini penerbit dan pengarah filem patut memainkan peranan dalam menerapkan nilai dakwah, cara hidup, pegangan umat Islam dan keperibadian Rasulullah yang sebenar kepada dunia. Namun sebaliknya pihak penerbit dan pengarah sekarang lebih banyak mengeluarkan filem yang berunsur cinta dan hantu. Walaupun ada cerita berunsur dakwah tetapi jalan ceritanya tidak mencapai matlamat sebenar Islam. Umat Islam juga perlu lebih bijak, kreatif  dan pandai menggunakan peluang serta kemajuan yang ada untuk menegakkan agama Islam contohnya menyebarkan dakwah melalui televisyen, filem, laman sosial, blog, web, majalah dan surat khabar.  Medium ini  juga mampu berperanan mendekatkan masyarakat  supaya lebih memahami dan mengenali Islam.  Mubaligh Kristian sudah lama menggunakan kaedah ini.  Kita juga boleh menggunakan cara yang sama untuk mengembangkan dakwah Islam.


Kesimpulannya, sebagai umat Islam yang benar-benar ingin menegakkan agama kita seharusnya bertindak secara rasional, berakhlak dan berhemah.  Tonjolkan akhlak yang baik kepada orang bukan Islam supaya akhirnya mereka sedar bahawa  Islam agama yang menuntut kebaikan dan keperibadiaan Rasulullah adalah mulia. Islam bukan agama penganas dan Nabi Muhammad tidak sehina itu. Setelah mereka betul-betul mengenali Islam mereka juga akan memeluk islam seperti mana khalifah-khalifah pada zaman Rasulullah tertarik dan memeluk Islam. Sikap ini seiringan dengan seruan dalam Al-Quran yang bermaksud :
 "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan  sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini" (Surah al-Furqan:63)

Tuesday 16 October 2012

HikMah BeRseLaWat





Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang Yahudi yang menuduh seorang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Nabi Muhammad s.a.w lalu memutuskan hukum yang unta itu milik orang Yahudi dan memutuskan untuk memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebinggungan. Ekoran itu, orang Muslim  pun mengangkat kepalanya menadah tangannya ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."

Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w, "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?"

Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta."

Akhirnya Rasulullah s.a.w berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang amalan engkau, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar."

Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahalanya sangat tinggi di sisi Allah. Selawat  juga boleh melindungi diri dari segala  bencana yang menimpa, baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah melalui seekor unta yang menghakimkannya.

Saturday 13 October 2012

Cara Pemakanan yang Perlu Dielakkan ( Cara Rasulullah SAW)




Antara tatacara pemakanan  Rasulullah SAW adalah:
  
Rasulullah tidak minum susu sewaktu baginda memakan daging, ayam ataupun ikan.

Nabi Muhammad SAW pernah melarang para sahabat daripada makan ikan bersama susu kerana dibimbangi akan cepat mendapat penyakit. Perkara ini dibuktikan oleh saintis yang menjumpai ion positif dalam badan ayam sedangkan dalam makanan laut mempunyai ion negatif.  Jika kedua-dua jenis makanan ini bercampur maka akan terjadinya tindakbalas biokimia yang aktif dalam tubuh sekaligus mampu menyebabkan perut dan usus rosak dengan teruk.

Rasulullah SAW melarang meminum susu bersama cuka.

Kerana cuka boleh menghalang penyerapan protien susu dan  kemasamannya boleh menghakis perut melalui tahap keasidannya lama kelamaan boleh menyebabkan gastrik.



Elakkan meminum susu bersama buah.

Contohnya koktel  kerana gabungan dua bahan ini boleh meningatkan kadar keasidannya perut yang menyebabkan sebu dan gastrik.

 Rasulullah SAW tidak makan ikan bersama daging, telur atau daun salad.

Dalam Kitab Al-Quran ada melarang manusia untuk tidak makan makanan darat bercampur makanan laut seperti memakan nasi berlaukkan tom yam dan lauk kenduri. Haiwan di laut dan di daratan mengandungi cas ion yang berbeza.Jika makanan ini dimakan sekali, sistem usus dalam perut kita akan rosak. Akhirnya ia akan mengundang penyakit dan membahayakan kesihatan.


5. Rasulullah SAW memakan buah-buahan terlebih dahulu sebelum makan makanan berat, seperti gandum atau roti.

Makan buah sebelum makan (1/2 jam sebelum makan nasi). Kita tidak sepatutnya makan buah selepas makan nasi.Hal ini kerana buah-buahan mengandungi serat/fibre yang tinggi. Apabila kita makan buah sebelum makan nasi, secara automatik perut kita telah penuh dengan serat. Jadi, kita tidak  akan makan nasi dalam kuantiti yang banyak.


Kesimpulannya, untuk menjaga kesihatan badan kita contoh yang terbaik adalah mengikut cara pemakanan Rasulullah SAW.


Jangan minum SUSU + DAGING
Jangan makan DAGING + IKAN
Jangan makan IKAN + SUSU
Jangan makan AYAM + SUSU
Jangan makan IKAN + TELUR
Jangan makan IKAN + DAUN SALAD
Jangan minum SUSU + CUKA
Jangan makan BUAH + SUSU