Saturday 3 November 2012

Pemilihan Makanan : Sedap, Berkhasiat dan Halal


Tugasan Blog SIW506
 Pemilihan Makanan : Sedap, Berkhasiat dan Halal.
Noor Aini Mohd Salleh
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
PSM0045/12




Makanan dengan hidupan boleh dikatakan ibarat isi dengan kuku. Makanan merupakan keperluan yang sangat penting bagi setiap makhluk yang bernafas di bumi sama ada ia manusia, tumbuhan mahupun haiwan. Hal ini kerana makanan berperanan memberi tenaga bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsi masing-masing sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Namun begitu, kebiasaanya binatang dan tumbuhan hanya makan mengikut keperluan untuk meneruskan hidup dan fungsinya. Sebaliknya manusia kadangkala makan mengikut kemahuan, selera, akal dan nafsu semata-semata tanpa mengambil kira sama ada makanan itu halal atau mengikut syariat agama. Mengapakah keadaan ini berlaku? Adakah disebabkan manusia mempunyai banyak pilihan berbanding makhluk lain?

Industri makanan pada hari ini semakin berkembang selari dengan arus globalisasi semasa. Buktinya wujud pelbagai jenis premis dan syarikat makanan sama ada dari dalam mahupun  luar negara. Antara makanan yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan sekarang ialah makanan francais seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), McDonald’s, The Chicken Rice Shop, Pizza Hut dan Marrybrown. Tambahan pula pada zaman yang serba moden sekarang masyarakat boleh mendapatkan makanan dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja. Tidak kurang juga yang meminati makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi dagang, mee goreng, roti canai dan kuih-muih. Kewujudan pelbagai jenis syarikat makanan ini secara tidak langsung akan memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan peratusan KDNK negara. Makanan seperti ini dapat menarik perhatian kerana  rasanya yang lazat serta mempunyai pelbagai pilihan menu. Tambahan pula, akibat kesibukan kerja dan tugas seharian makanan sebegini menjadi menu utama seharian khususnya bagi masyarakat bandar. Disebalik keuntungan yang diperoleh, kelazatan rasanya serta senang untuk diperoleh, adakah masyarakat sedar bahawa makanan yang dimakan itu halal ataupun tidak? Syubhah? baik ataupun tidak untuk kesihatan fizikal mahupun rohani?

Di Malaysia isu makanan halal dan haram menjadi satu agenda yang begitu hangat diperdebatkan. Isu ini seringkali muncul di dada akhbar, majalah, televisyen mahupun internet yang membahaskan tentang keraguan status halal makanan, cara penyembelihan haiwan yang tidak mengikut syarak, makanan mempengaruhi akhlak dan bahana makanan haram. Isu ini sebenarnya memberi kesan yang besar kepada umat Islam. Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula daripada proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini kadang kala digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya (Ajie MKO, 2012). Namun begitu, keraguan status halal juga akan memberi kesan kepada penganut-penganut agama lain bukan hanya tertumpu kepada umat Islam sahaja. Hal ini kerana seperti yang diketahui Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan agama jadi mereka juga terdiri daripada pengusaha makanan yang menyumbang kepada keperluan makanan seluruh masyarakat Malaysia. Malahan lebih mengejutkan industri makanan halal pada masa kini telah dimonopoli oleh pengusaha bukan Islam. Buktinya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengumumkan sebanyak 74.7% pengusaha makanan bukan Islam telah membuat permohonan sijil halal bagi produk yang dihasilkan untuk mendapat kepercayaan masyarakat (Muhammad Teja, 2012).

Isu makanan bukanlah suatu isu yang baru, ia bermula sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa tercipta lagi.  Akibat termakan  hasutan dan tipu daya syaitan Nabi Adam a.s dan Hawa memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah. Kesan daripada tindakan itu mereka berdua dikeluarkan daripada syurga. Di sini jelas sekali bahawa Allah amat menitikberatkan soal berkaitan makanan sehingga menjatuhkan hukuman kepada Nabi Adam dan isterinya yang melanggari perintah. Jika dilihat dari epistemologi Islam, telah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran bahawa Allah s.w.t memerintahkan manusia supaya memakan makanan daripada sumber yang halal dan tidak terpedaya dengan hasutan syaitan. Buktinya, Allah s.w.t  berfirman:

“ Wahai sekalian manusia! Makanlah  dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu” ( Surah al-Baqarah 2:168).

Sejak kebelakangan ini ramai masyarakat tidak lagi memberatkan status halal haram dan kadang kala  makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal. Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang (Ajie MKO, 2012). Perbuatan seperti ini sebenarnya amat bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai umat Islam, cara pemilihan makanan perlulah mengikut tasawur Islam iaitu mementingkan aspek halal dalam pengambilan makanan dan  menjauhi makanan yang haram bukan hanya memilih kelazatan dan khasiatnya sahaja. Selain itu, terdapat juga masyarakat yang menilai sesebuah restoran melalui statistik pengunjung yang ramai berbanding dengan status halal. Contohnya jika sesebuah restoran dikunjungi oleh ramai pengunjung yang beragama Islam dan Melayu, pengguna akan membuat keputusan bahawa makanan di restoran itu dikira halal untuk dimakan tanpa menilai sendiri sama ada makan tersebut halal. Selain itu, pengguna juga perlu menilai sendiri sijil halal yang diberikan kepada sesebuah perniagaan bukannya ambil sikap lepas tangan. Sikap ini wajar dikritik kerana dibimbangi akan turut mempengaruhi pengguna Islam yang lain, sekali gus merendahkan serta mencemarkan peranan penguatkuasaan perlesenan halal oleh pihak berkuasa terutamanya pihak JAKIM.

Pemilihan makanan yang halal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada individu sama ada mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t ataupun tidak.  Selain itu, Islam juga menyeru umatnya supaya menjauhi makanan yang diragui status halalnya atau syubhah. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Yang halal adalah jelas dan yang haram juga jelas, tetapi di antara keduanya terdapat perkara yang belum jelas(syubhah), maka lebih baik dijauhi” (Riwayat  Muslim: 2996)

Oleh itu, pemilihan makanan haruslah berpandukan kepada epistemologi Islam seperti al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas Ulama yang merupakan sumber utama yang sahih kepada umat Islam. Islam menegaskan betapa pentingnya makanan halal dalam kehidupan seseorang kerana makanan akan membentuk hati sama ada baik atau buruk. Hati akan rosak jika memakan makanan haram dan syubhah laksana pohon yang akan mati jika dibajai racun. Sedangkan hati umpama raja dalam kerajaan diri yang baiknya akan membaikkan seluruh pancaindera dan anggota badan (Pahrol Mohamad Juoi, 2012). Rasulullah bersabda yang maksudnya:

"Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati". (Hadis riwayat Bukhari)

Hati yang rosak dan gelap ini akan menyebabkan seseorang itu jauh dari taufik dan hidayah Allah. Hal ini boleh dilihat apabila seseorang itu tidak suka akan teguran, mudah bosan dengan ilmu dan sebagainya.  Sebaliknya, hati orang yang memakan makanan halal akan dipenuhi dengan cahaya dan hidayah daripada Allah. Buktinya Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang memakan sesuatu yang halal selama 40 hari, nescaya Allah akan menerangi hatinya dan mengalirkan kearifan hati melalui lidahnya.” (Riwayat Abu Nu’aim)

Selain Islam yang menekankan kepentingan pengambilan makanan halal kepada hati, ahli sains dan perubatan  juga tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan.  Dari sudut pandangan sains, makanan yang baik penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi antara lainnya mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan beracun dalam badan, membina dan memusnahkan sel darah merah, menukar glikogen kepada glukosa untuk diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi khusus lain yang penting dalam sistem tubuh badan manusia (Berita Harian Online, 2007). Oleh itu, pemakanan yang sihat, berkhasiat  dan seimbang perlu diambil kerana ia penting untuk memelihara tubuh badan daripada sebarang penyakit memudaratkan. Namun begitu, makanan yang diambil perlulah mengikut keperluan badan supaya tidak menghadapi masalah kesihatan seperti  kegemukan, kencing manis dan penyakit jantung. Dalam keghairahan mengisi perut, Islam melarang  pengambilan makanan dan minuman yang berlebihan kerana dibimbangi akan membawa kesukaran penghadaman perut dan seterusnya akan menimbulkan sikap malas dan tidak cergas dalam tindakan seharian. Sebaliknya, pemakanan sihat dan seimbang dari segi kualiti dan kuantitinya mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja cemerlang kesihatannya bahkan cemerlang akhlak sahsiah, berperibadi mulia dan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap serta menyeluruh.  Di sini jelas bahawa setiap ajaran dan suruhan agama Islam mempunyai kebaikan dan kepentingan tersendiri dalam menyeru umatnya menjauhi makanan haram dan syubhah untuk kesejahteraan manusia jasmani dan juga rohani.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang dimakan dan berwaspadalah dengan cara bagaimana mendapatkan makanan. Apa yang  dimakan dan cara  mendapatkannya akan menentukan persoalan hidup serta nasib  di akhirat nanti (Pahrol Mohamad Juoi, 2012). Disebabkan itulah Sayidina Abu Bakar as-Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah, setelah diberitahu oleh khadamnya bahawa makanan itu diperoleh sebagai ganjaran untuk perkhidmatan tilik nasib.  Amirul Mukminin itu merasa cukup takut  bila makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa (Hilal Asyraf, 2012),

"Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku."

Perbuatan itu menunjukkan bahawa betapa bahayanya makanan yang tidak halal. Makanan tersebut akan memberi kesan yang besar terhadap seseorang mukmin. Namun begitu, masyarakat Islam sekarang kurang pendedahan terhadap kesan pengambilan makanan haram sebaliknya mereka hanya diberi pendedahan terhadap halal dan haram sahaja.  Disebabkan keadaan itulah mereka kurang memberi perhatian kepada penjagaan makanan mengikut tasawur Islam.

Selain itu, ramai umat Islam hanya memberi tumpuan kepada masalah untuk mencari halal dan haram makan yang dimakan tetapi sebaliknya mereka lalai dan terlepas pandang terhadap cara mereka mendapatkan makanan tersebut. Menurut Pahrol Mohamad Juoi dalam buku Solusi yang bertajuk  Lazat, Berzat dan Berkat berpendapat ramai umat Islam terperangkap bukan oleh makanan yang haram, tetapi cara mendapatkannya yang haram! Misalnya, boleh dikatakan tidak ada orang Islam yang tega memakan babi, tetapi masih ramai umat Islam yang makan makanan yang dibeli dengan wang hasil rasuah, menipu,curi tulang dan menzalimi hak orang lain.  Perbuatan ini amat berbeza sekali dengan tasawur Islam yang menekankan supaya umatnya menjauhi perbuatan rasuah, mencuri serta menzalimi orang lain. Hakikatnya, mereka sedang memakan makanan yang diperoleh daripada cara yang batil dan mungkar (Pahrol Mohamad Juoi, 2012).  Berpandukan al-Quran Allah s.w.t berfirman:

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil melainkann dengan jalan perniagaan secara suka sama suka antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. ” (Surah al-Nisa 4:29)

Justeru, sebagai umat Islam yang betul-betul mengikut tasawur dan berpandukan epistemologi Islam, seharusnya sedar dan mengubah cara hidup yang terlibat dengan sifat mazmumah supaya diri dan keluarga tidak berterusan menjadi mangsa sikap  yang tidak peka terhadap cara untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal.

Hal ini kerana halal merupakan prasyarat kepada penerimaan doa. Maknanya Allah tidak akan terima doa orang yang mengandungi bahan haram dalam tubuhnya termasuklah makanan dan pakaian yang dipakai. Rasulullah s.a.w bersabda,

"Di antara nilai hukum yang diisyaratkan ialah  mustahaknya makanan yang halal bagi orang yang beriman dalam hubungannya dengan ibadat dan doanya kerana untuk penyempurnaannya tidak sahaja dikehendaki kepada kebaikan apa yang dikerjakannya tetapi memerlukan pula kepada halal makanan dan pakaian yang digunakan setiap hari." (Riwayat Abu Muslim dan Abu Hurairah)

Makanan yang haram akan memberi kesan langsung kepada kehidupan. Tidak dapat dinafikan pembangunan akhlak seseorang turut dipengaruhi makanan yang diambil. Jika diambil daripada sumber haram, maka akan terbentuklah individu Muslim yang tidak mengikut acuan Islam sebenar. Di samping itu, ia juga menyebabkan seseorang individu itu sukar untuk  mengingati ilmu yang dipelajari, tidak khusuk dalam beribadat, hati tidak tenang dan tiada keberkatan hidup.  Seterusnya, akan lahir masyarakat yang sarat dengan masalah sosial akibat hidup tiada keberkatan berpunca daripada susur galur pemakanan yang menjadi darah daging. Akhir sekali, marilah sama-sama kita pastikan makanan yang dimakan dalam kehidupan seharian kita sentiasa bersih, suci dan halal kerana mencari yang halal itu adalah fardhu. Makanan bukan sekadar perlu dinilai berdasarkan khasiat dan kelazatannya, yang lebih penting adalah memperoleh keberkatan daripada Yang Maha Esa.


BIBLIOGRAFI

Ahmad Solihin B. Maryakon (2012). Isu-isu Jaminan Status Halal  Sembelihan. Diakses dari www.halal.upm.edu.my/kph2012/ISU%0%96%20ISU%20DALAM%20SEMBELIHAN%20V.%203%2
0(Jul.%202012-UPM)   pada 10 Oktober 2012.

Ajie MKO (2012). Halal dan Haram Mempengaruhi keperibadian Muslim. Diakses dari http://mrmko.blogspot.com/2012_06_07_archive.html  pada 10 Oktober 2012.

Hilal Asyraf (2012). Kebersihan hati dan tubuh badan. Diakses dari http://www.haluan.org.my/v5/index.php/topik-pilihan/kesihatan-a-keselamatan/131-kebersihan-hati-dan-tubuh-badan pada 10 oktober 2012.

Muhammad Teja (2012). Makanan Halal dan Sensitiviti Pengguna Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Norkumala Awang (2012). Perspektif IKIM: Makanan Pengaruhi Akhlak. Diakses dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PerspektifIKIM_Makananpengaruhiakhlak/Article/ pada 10 Oktober 2012.

Norkumala Awang (2007). Makanan Haram Gelapkan Hati. Diakses dari e-kiosk.ikim. gov.my /downloadarticle.asp?id=313 pada 10 oktober 2012.

Pahrol Mohamad Juoi(2012). Lazat, Berzat, Berkat. Kuala Lumpur:Telaga Biru Sdn Bhd.